Tuesday, March 27, 2012

24 nelayan asing ditahan ketika sedang mencuri ikan di perairan negara

24 nelayan asing ditahan ketika sedang mencuri ikan di perairan negara


2012/03/27

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot asing bersama 24 orang awak-awak yang menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia kira-kira 65 batu nautika dari Kuala Kemaman, di sini, semalam. 

Kehadiran bot yang mencurigakan itu dikesan kira-kira jam 2 petang oleh Kapal Maritim Langkawi yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz, berkata ketika kejadian kedua-dua bot dari Vietnam itu menyamar menggunakan nombor pendaftaran nelayan tempatan dan mengibarkan bendera Malaysia bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Ketika melakukan rondaan kita mendapati kedua-dua bot ini seolah-olah berada dalam keadaan mencurigakan dan hasilnya kedua-dua bot ini disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan kaedah Pukat Tunda Ganding. 

"Kedua-dua bot ikan Kelas C2 itu dibawa ke Pangkalan Maritim Kemaman dan hasil siasatan bot TRF 819 mempunyai 20 orang awak-awak manakala TRF 820 mempunyai empat awak-awak saja," katanya di sini, hari ini. 

Adam berkata, semua awak-awak yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kedua-dua bot itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah. 

Katanya, pihak APMM juga merampas 5,000 kilogram pelbagai jenis ikan yang berjaya dilelong dan memperoleh hasil RM30,000 hari ini. 
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 di mana tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta manakala awak-awak tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment